Monday, March 5, 2012

again... copy from this blog http://fcpoinvestmentgroup.webs.com/faktafcpo.htm


FCPO adalah salah satu dari produk futures yang ditawarkan oleh Bursa Malaysia Derivatif (BMD). Ia adalah produk futures yang mematuhi syariah (syariah compliant) yang disandarkan kepada pasaran fizikal kelapa sawit dunia.

FCPO diniagakan dalam Ringgit Malaysia. Satu pergerakan minima harga (satu tick) bagi FCPO adalah RM1 di futures yang membawa nilai sebenar RM25. Oleh itu jika harga FCPO bergerak sebanyak RM5, ini bermakna nilai sebenar kepada trader adalah RM25 X RM5 = RM125.

FCPO didefinisikan sebagai suatu kontrak derivatif (yang diperakui undang-undang Malaysia) di antara pembeli dan penjual untuk menerima atau menghantar minyak sawit mentah (1 lot FCPO bersamaan dengan 25 Tan Metrik minyak sawit mentah) pada suatu masa tertentu di masa hadapan.

Kontrak ini adalah mengikut bulan. Kontrak yang ditawarkan BMD adalah kontrak bagi bulan semasa dan lima bulan berikutnya, diikuti bulan-bulan seterusnya secara berselang satu bulan, sehinggalah ke bulan 24 yang akan datang. Kontrak akan menjadi matang pada 15 haribulan pada bulan dimana kontrak itu disebut. Contohnya, kontrak bulan Julai 2007 akan matang pada bulan Julai 2007 manakala tarikh akhir urusniaganya adalah pada 15 Julai 2007.

Futures membenarkan kita membeli dahulu dan kemudian jual. Futures juga membenarkan kita menjual dahulu dan kemudian baru membeli. Yang pentingnya, kita melengkapkan urusniaga kita dengan membeli pada harga rendah dan menjual pada harga tinggi; tak kesahlah beli dan jual atau jual dan beli.

Adalah juga penting untuk melengkapkan urusniaga. Kontrak yang diniagakan adalah sah dari segi undang-undang. Jika urusniaga tidak dilengkapkan dan kontrak itu matang, kita wajib meneruskan dengan proses tender fizikal minyak sawit. Dalam kata lain; trader yang masih memegang kontrak belian FCPO pada tarikh matang perlu menerima 25 tan metrik minyak sawit (bagi setiap kontrak) daripada trader yang masih memegang kontrak jualan FCPO pada tarikh matang yang sama.

Trader bebas memilih untuk membeli dan menjual kontrak dari bulan mana-mana sahaja. Namun trader diingatkan bahawa berurusniaga pada bulan yang hampir matang mungkin akan menyebabkan trader terpaksa berurusan dengan minyak sawit secara fizikal.

Jual atau beli kontrak pada bulan yang masih jauh juga boleh memerangkap trader kerana kontrak bulan sebegini, kadar kecairannya adalah rendah. Bila beli, mungkin susah nak jual kemudiannya kerana tiada pembeli. Begitu juga sebaliknya, bila jual susah nak beli kemudiannya kerana tidak ada penjual.

Adalah menjadi kebiasaan trader di dalam pasaran, terutamanya spekulator, untuk berurusniaga FCPO pada kontrak bulan ke tiga. Istilahnya adalah 'benchmark contract month'. Apabila membeli atau menjual kontrak bulan ketiga, ada cukup masa untuk melengkapkan urusniaga manakala kadar kecairannya adalah paling tinggi.

Masa urusniaga FCPO di BMD terbahagi kepada dua sesi iaitu sesi pagi (10.30 hingga 12.30) dan sesi petang (3.00 hingga 6.00).

Kadar margin atau deposit bagi setiap lot adalah ditentukan oleh BMD Clearing. BMD Clearing akan menyemak kadar ini dari masa kesemasa dan mengubahnya mengikut keperluan pengurusan risiko mereka.

Pada masa sekarang, kadar margin bagi setiap lot FCPO telah ditetapkan oleh BMD Clearing pada RM5,500. Walau bagaimanapun, ada syarikat broker yang membenarkan separuh margin (RM2,750) bagi urusniaga singkat (melengkapkan urusniaga pada hari yang sama).

Masa urusniaga bagi FCPO adalah seperti berikut:
Sesi pagi : 10.30 pagi hingga 12.30 tengahari.
Sesi petang : 3.00 petang hingga 6.00 petang.

Walau bagaimanapun, terdapat suatu tempoh yang dinamakan 'pre-opening' pada setiap sesi. Pada tempoh ini, pelabur boleh membuat tempahan harga, mengubah tempahan harga, atau membatalkan tempahan harga. Dalam tempoh ini, beli dan jual tidak dipadankan.

Tempahan beli dan tempahan jual yang dibuat dalam tempoh ini akan dikumpulkan dan hanya akan dipadankan pada jam 10.30 pagi (bagi sesi pagi) dan 3.00 petang (bagi sesi petang) iaitu apabila bermulanya tempoh urusniaga sebenar. Purata harga bagi tempahan yang dikumpulkan itu akan menjadi harga pertama urusniaga pada sesi berkenaan.

Tempoh 'pre-opening' atau pra pembukaan pasaran ini adalah seperti berikut :
Sesi pagi : 10.00 pagi hingga 10.30 pagi.
Sesi petang : 2.30 petang hingga 3.00 petang.

Pelabur FCPO, pada tempoh 'pre-opening' ini, digalakkan menelefon FBR masing-masing dan menyemak kedudukan soybean oil (daytrade dan project A) serta lain-lain fakta perubahan fundamental yang penting bagi mengelakkan kejutan semasa pembukaan sesi.

Sekiranya ada jangkaan pada perubahan mengejut dalam aliran pasaran, bolehlah peniaga membuat persediaan menukar strategi dan memberi arahan kepada FBR untuk sebarang tempahan harga bagi urusniaga baru, stop loss ataupun membatalkan tempahan harga yang telah dibuat.

Fakta dalam Fakta : Struktur pemasaan pasaran yang sebenar adalah lebih kompleks tetapi telah dipermudahkan disini bagi tujuan kefahaman pelabur.Masa yang dinyatakan diatas adalah terhad kepada tempoh dimana pelabur boleh melibatkan diri dalam pasaran.

Bagaimana bursa menemukan pembeli dan penjual? Kaedah yang digunakan dikenali sebagai NOVATION.

Novation adalah proses dimana bursa akan memadankan dua urusniaga; belian dan jualan. Apabila didapati seorang pembeli A dan seorang penjual B menawarkan harga masing-masing pada aras harga yang sama; bursa akan membeli daripada penjual B dan pada masa yang sama bursa juga menjual kepada pembeli A. Ini adalah cara bagaimana bursa menemukan pembeli dan penjual. Kenapa sampai begitu?

Pertamanya, ini untuk memastikan pada tarikh matang kontrak, pembeli dan penjual spekulasi dapat melengkapkan urusniaga mereka. Baki pemegang kontrak yang tinggal adalah hedgers yang mahu menghantar dan menerima minyak sawit. Seterusnya Bursa akan menyelia penghantaran dan penerimaan minyak sawit berkenaan. Dengan ini keperluan dan matlamat spekulator, hedger atau lain-lain kategori peniaga FCPO adalah tercapai.

Keduanya, novation membolehkan Bursa mengawal dan menyelia pasaran yang adil dan saksama melalui urusniaga yang sah selain mengelakkan gangguan atau manipulasi pihak tertentu.

Akhir sekali, Bursa juga dapat mengawal dan menyelia serta memastikan sesuatu urusniaga itu dapat dikesan dan diniagakan oleh peniaga yang didaftarkan melalui pembukaan akaun di syarikat broker. Ini penting bagi tujuan menyemak akauntabiliti setiap urusniaga dan mereka yang terlibat didalam sesuatu urusniaga tersebut.

Kerana inilah juga urusniaga FCPO dapat dijamin keberkesanan operasinya dan menyakinkan pelabur terhadap ketelusannya.

Akhir sekali, diharap bagi mereka yang masih ragu-ragu, dapat memahami bahawa urusniaga futures bukanlah urusniaga 'atas angin' kerana kita membeli daripada bursa dan kita menjual juga kepada bursa.

0 comments

Post a Comment

 


Blogger Template By LawnyDesignz